Al_baitu jamilatun

Al_baitu jamilatun
Al Baitu jamilatun

Sunday, August 22, 2010

lihat bakal isteri

Melihat Bakal Isteri

Di antara perkara sunat yang digalakkan dalam Islam ialah seseorang lelaki melihat perempuan yang ingin dikahwininya sebelum peminangan. Syarak membenarkan melihatnya tanpa kebenaran dan pengetahuannya supaya dia tidak berhias terlebih dahulu. Jika perempuan tersebut berhias, tujuan melihat mungkin tidak akan tercapai.

Lelaki tersebut boleh melihat bakal tunangnya 2 atau 3 kali jika perlu untuk melihat dengan lebih jelas lagi kerana biasanya matlamat yang dikehendaki tidak tercapai hanya dengan sekali pandang.

Nabi s.a.w bersabda kepada Mughirah bin Syu’bah sewaktu dia berazam untuk meminang seorang wanita: “Lihatlah perempuan itu semoga ia akan mengekalkan kasih sayang antara kamu berdua”(1)

Sahal bin Saad r.a berkata: “Seorang perempuan datang menemui Nabi dan berkata: “Wahai Rasulullah! Aku datang untuk menyerahkan diriku kepadamu.” Nabi memerhatikan perempuan itu atas dan bawah kemudian Baginda menundukkan kepalanya” (2)

Maksud menyerahkan diriku kepadamu ialah aku serahkan urusan diriku kepadamu, samada kamu mengahwini aku tanpa mas kahwin ataupun kamu mengahwinkan aku dengan sesiapa yang engkau rasa sesuai. Maksud Baginda menundukkan kepalanya ialah setelah melihat perempuan itu ialah Baginda tidak lagi mengulangi perbuatannya memerhati perempuan tersebut.

Abu Hurairah r.a berkata: “Ketika aku berada bersama Nabi s.a.w, Baginda didatangi seorang lelaki dan memberitahu bahawa dia berkahwin dengan seorang perempuan Ansar. Nabi bertanya: “Adakah kamu telah melihat perempuan itu? Beliau menjawab: “tidak.” Nabi bersabda: “Pergi dan lihatlah perempuan itu kerana sesungguhnya mata orang-orang Ansar itu berbeza dengan mata orang lain (yang dia mungkin tidak berkenan). (3)

Abu Humaid as-Saidi r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: “Jika salah seorang dari kamu ingin meminang seorang wanita, dia tidak berdosa jika melihat wanita tersebut untuk meminangnya, sekalipun perempuan itu tidak mengetahuinya.” Riwayat Ahmad 5/424

Wanita juga berhak melihat lelaki jika dia ingin berkahwin dengan lelaki tersebut supaya dia boleh melihat keadaannya dengan lebih jelas agar tidak menyesal selepas berkahwin. Sesungguhnya perempuan juga tertarik dengan beberapa sifat seseorang lelaki sebagaimana lelaki tertarik dengan beberapa sifat seseorang perempuan.

Batas-Batas Seorang Lelaki Melihat Bakal Isterinya

Seseorang lelaki tidak diharuskan melihat bakal tunangnya melainkan muka dan tapak tangannya (depan dan belakang). Muka dan tapak tangan adalah anggota zahir yang dimaksudkan oleh firman Allah:
وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
“dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.”

Hikmat pandangan hanya dihadkan kepada muka dan tapak tangan sahaja ialah kerana muka menunjukkan kecantikan dan tapak tangan memperlihatkan kesuburan badan dan kelembutannya.

Sekiranya seseorang lelaki itu tidak berpeluang melihatnya sendiri, dia boleh menghantar seorang wanita untuk melihat dan menceritakan sifat-sifat wanita tersebut kepadanya. Rasulullah s.a.w pernah menghantar Ummu Sulaim untuk melihat seorang wanita dan Baginda s.a.w berkata kepadanya: “Lihatlah kedua-dua ketingnya dan ciumlah bau badannya.”

Difahami daripada hadith di atas, perempuan yang dihantar oleh lelaki untuk melihat bakal tunangnya boleh melihat lebih daripada apa yang boleh dilihat oleh lelaki itu sendiri maka matlamat atau faedahnya tentu lebih banyak lagi.

(1) Riwayat Tirmizi dan beliau mengatakan hadith hasan dalam kitab nikah, bab hadith-hadith berkaitan dengan melihat tunang no 1087, Ibnu Majah dalam kitab nikah bab melihat perempuan yang ingin dikahwini no 1865 dan selain mereka berdua.
(2) Riwayat Bukhari dalam kitab nikah bab melihat perempuan sebelum berkahwin no 4833, Muslim dalam kitab nikah bab harus mas kahwin dalam bentuk mengajar Al-Quran no 1524.
(3) Riwayat Muslim dalam kitab nikah bab sunat memandang muka dan tangan perempuan yang ingin dikahwini no 1424.

No comments: