Apakah Berubat dan Tawakal?
October 21, 2009
Oleh: Al Ustadz Abdul Mu’thi Al Maidani
Tema ini masih berkaitan dengan perbahasan hadis Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma yang lalu mengenai orang-orang yang masuk syurga tanpa hisab dan tanpa azab. Salah satu sifat mereka adalah bertawakal kepada Allah subhanahu wa ta’ala semata. Barangkali sebahagian muslimin beranggapan bahawa berubat akan mengikis kesempurnaan tauhid. Alasannya adalah kerana berubat merupakan penggunaan sesuatu sebab yang berlawanan dengan tawakal kepada Allah. Sehingga seorang yang bertawakal tidak perlu untuk berubat bila sakit. Jika Allah mahu menyembuhkanny, maka dia akan sembuh tanpa perlu berubat. Akan tetapi, benarkah mengambil sesuatu sebagai sebab berlawanan dengan tawakal kepada Allah? Marilah kita semak tulisan berikut ini.
Sesungguhnya Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam pernah mengutarakan masalah berubat, sebagaimana di dalam beberapa hadis. Di antaranya,
1. Dari Jabir Bin Abdullah radhiallahu’anhu, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,
“Setiap penyakit pasti memiliki ubat. Bila sesuatu ubat bertepatan dengan penyakitnya maka dia akan sembuh dengan seizin Allah ‘azza wa jalla.” (HR. Muslim)
2. Dari Abu Hurairah radhiallahu’anhu, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,
“Tidaklah Allah menurunkan sesuatu penyakit melainkan menurunkan pula ubatnya.” (HR. Al Bukhari dan Muslim)
3. Dari Usamah bin Syarik radhiallahu’anhu, bahawa beliau berkata,
“Aku pernah di sisi Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam lalu datanglah sekumpulan arab dusun. Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, bolehkah kami berubat? .” Baginda menjawab, “Iya, wahai para hamba Allah berubatlah. Ini kerana Allah ‘azza wa jalla tidaklah meletakkan sesuatu penyakit melainkan meletakkan pula ubatnya, kecuali satu penyakit.” Mereka bertanya, “ Penyakit apakah itu? .” Baginda menjawab, “Penyakit ketuaan.” (HR. Ahmad, Al Bukhari dalam Al-Adabul Mufrod, Abu Dawud, Ibnu Majah dan At-Tirmidzi, beliau berkata bahawa hadis ini hasan sahih. Syaikhuna Muqbil bin Hadi Al-Wadi’i mensahihkan hadis ini di dalam kitabnya Al-Jami’us Sahih mimma Laisa fish Sahihain 4/486)
4. Dari Ibnu Mas’ud radhiallahu’anhu, bahawa Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam bersabda,
“Sesungguhnya Allah ‘azza wa jalla tidaklah menurunkan sesuatu penyakit melainkan menurunkan pula ubatnya. Ubat itu diketahui oleh orang yang boleh mengetahuinya dan tidak diketahui oleh orang yang tidak boleh mengetahuinya.” (HR. Ahmad, Ibnu Majah dan Al-Hakim, beliau mensahihkannya dan disepakati oleh Adz-Dzahabi. Juga Al-Bushiri mensahihkannya dalam kitab Zawaidnya. Lihat Takhrij Al-Arnauth atas Zadul Ma’ad 4/12-13)
Al Imam Ibnu al-Qayyim rahimahullah berkata, “Di dalam hadis-hadis yang sahih ini terdapat perintah untuk berubat dan ia tidak bertentangan dengan tawakal. Sebagaimana menolak penyakit yang berbentuk rasa lapar, haus, panas dan dingin dengan lawan-lawannya, ia tidak menghilangkan tawakal. Bahkan tidak sempurna hakikat tauhid kecuali dengan mengambil sebab yang Allah letakkan sebagai faktor yang akan melahirkan akibat, baik secara ketentuan takdir mahupun hukum syariat. Menolak sebab dapat merosakkan tawakal itu sendiri. Demikian pula dapat merosakkan dan melemahkan nilai perintah Allah dan hikmah-Nya. Sementara orang-orang yang menolak kerana mereka beranggapan bahawa yang demikian itu akan lebih menguatkan tawakal. Sedangkan menolak sebab merupakan sebuah kelemahan yang boleh menghilangkan tawakal. Ini kerana hakikat tawakal adalah seseorang itu menyandarkan hatinya kepada Allah di dalam mengambil manfaat dan menolak bahaya, baik pada agama mahupun dunianya. Penyandaraan hati ini mesti disertai dengan mengambil sebab. Jika tidak, maka dia akan menggugurkan hikmah Allah dan syari’at-Nya. Oleh kerana itu, janganlah seorang hamba menjadikan kelemahannya sebagai sikap bertawakal dan jangan pula dia menjadikan tawakalnya sebagai sebuah kelemahan.” (Lihat Zadul Ma’ad, cet. Maktabah Ar-Risalah 4/14)
Berubat merupakan perkara yang diperselisihkan hukumnya di kalangan para ulama. Tentunya perselisihan mereka berpunca daripada perbezaan di dalam memahami dalil-dalil yang datang pada bab ini. Terdapat tiga pendapat di kalangan para ulama dalam menentukan hukum berubat.
Pertama, menurut sebahagian ulama bahawa berubat diperbolehkan tetapi yang lebih utama tidak berubat. Ini merupakan mazhab yang masyhur daripada Al-Imam Ahmad rahimahullah.
Kedua, menurut sebahagian ulama bahawa berubat adalah perkara yang disunnahkan. Ini merupakan pendapat para ulama pengikut mazhab Syafi’i rahimahumullah. Bahkan Imam An-Nawawi rahimahullah dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim menisbahkan pendapat ini kepada mazhab majoriti salaf dan khalaf. Pendapat ini pula yang dipilih oleh Abul Muzhaffar. Beliau berkata, “Menurut mazhab Abu Hanifah bahawa berubat adalah perkara yang sangat ditekankan. Hukumnya hampir mendekati wajib.”
Ketiga, menurut sebahagian ulama bahawa berubat dan meninggalkannya sama saja, tidak ada yang lebih utama. Ini merupakan Mazhab Al-Imam Malik rahimahullah. Beliau berkata, “Berubat adalah perkara yang tidak mengapa demikian pula meninggalkannya.” (lihat Fathul Majid halaman 88-89)
As-Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin rahimahullah memiliki method yang cukup baik di dalam mempertemukan beberapa pendapat di atas. Beliau memperincikan hukum berubat kepada beberapa keadaan:
1. Bila diketahui atau diduga kuat bahawa berubat sangat bermanfaat dan meninggalkannya akan mengakibatkan kemudharatan, maka hukumnya wajib.
2. Bila diduga kuat bahawa berubat sangat bermanfaat namun meninggalkannya tidak mengakibatkan kemudharatan yang pasti, maka berubat lebih utama.
3. Bila dengan berubat, peluang sembuh dan mudharat memiliki kadar kemungkinan yang sama, maka meninggalkannya lebih utama, agar dia tidak melemparkan dirinya dalam kehancuran tanpa sedar.
(lihat Asy-Syarhul Mumti’ 2/437)
Salah satu sifat orang-orang yang masuk syurga tanpa hisab dan tanpa azab adalah bertawakal kepada Allah semata. Sifat ini bukan bererti mereka tidak menjalani sebab sama sekali. Ini kerana secara global menjalani sebab merupakan perkara fitrah dan tertanam secara spontan. Tidak seorang pun boleh terlepas daripada menjalani sebab. Bahkan bertawakal itu sendiri merupakan sebab yang paling terbesar, sebagaimana firman Allah ta’ala,
“Barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.” (Ath-Thalaq: 3)
Dengan demikian mereka hanya meninggalkan perkara yang makruh walaupun mereka memerlukannya, dengan tetap bertawakal kepada Allah, seperti meminta diruqyah atau dikay. Mereka meninggalkan perbuatan ini kerana keadaannya sebagai sebab yang makruh. Terlebih lagi orang yang sakit, dia akan bergantung dengan apa sahaja yang dianggapnya sebagai sebab untuk sembuh meskipun dengan sarang labah-labah (yang sangat lemah).
Adapun mengambil sebab dan berubat dalam bentuk yang tidak mengandungi hukum makruh, maka ia tidak merosakkan tawakal. Oleh kerana itu meninggalkannya tidak disyariatkan, sebagaimana yang difahami daripada hadis-hadis yang telah kita senaraikan di atas. (Lihat Fathul Majid 87-88).
Mengambil sebab boleh menjadi perbuatan syirik dan boleh pula merupakan ibadah dan tauhid kepada Allah subhanahu wa ta’ala. Menjadi syirik apabila orang yang menngambilnya menyandarkan hati kepadanya, merasa tenang dengannya, dan meyakini bahawa sebab itu sendiri yang dapat melahirkan akibat tanpa Allah subhanahu wa ta’ala. Dia berpaling daripada Zat Yang Menciptakan Sebab dan menjadikan perhatiannya hanya terbatas kepada sebab itu.
Sedangkan ia boleh menjadi tauhid dan ibadah bila dia menganggapnya hanya sebagai bentuk penunaian, pelaksanaan dan penegakan hak ibadah yang terdapat padanya. Lalu menempatkannya pada tempat yang sesuai. Maka mengambil sebab dengan cara yang seperti ini merupakan satu bentuk ibadah dan tauhid kepada Allah subhanahu wa ta’ala. Ini kerana hal itu tidak memalingkannya daripada menghadapkan hati kepada Zat Pencipta sebab tersebut.
Seorang yang bertauhid dan bertawakal kepada Allah tetap mengambil sebab tetapi tidak menyandarkan hati, tenang, berharap, takut dan condong kepadanya. Hatinya hanya tertuju dan tergantung kepada Zat Pencipta Sebab subhanahu wa ta’ala. Namun bukan bererti dia menolak, menggugurkan dan mengabaikan untuk mengambil sebab.
Tawakal adalah salah, baik secara hukum syariat mahupun logik kecuali apabila ia digantungkan hanya kepada Allah subhanahu wa ta’ala semata. Tidak ada di alam nyata ini sebab yang sempurna dan dapat melahirkan akibat dengan sendirinya kecuali kehendak Allah subhanahu wa ta’ala.
Kehendak Allah merupakan sebab bagi segala sebab. Allah telah menjadikan padanya kekuatan yang akan memberi kesan. Tidak ada satu sebab pun yang boleh melahirkan akibat dengan sendirinya melainkan mesti disertai oleh sebab yang lain. Allah menjadikan bagi setiap sebab lawan-lawan dan perkara-perkara yang dapat menghalangnya. Hal ini tentunya berbeza dengan kehendak Allah subhanahu wa ta’ala. Kehendak-Nya tidak memerlukan sebab apapun selainnya. Tidak ada sebab apapun yang dapat melawan dan membatalkannya. Namun kadang-kala Allah subhanahu wa ta’ala membatalkan hukum kehendak-Nya dengan kehendak-Nya. Dia menghendaki sesuatu perkara lalu menghendaki lawannya dan perkara yang menghalang terjadinya. Seluruhnya dengan kehendak dan pilihan Allah. Oleh kerana itu tawakal tidak dibenarkan kecuali hanya kepada-Nya. Demikian pula penyandaran diri, rasa takut, harapan, keinginan tidak ditujukan kecuali kepada-Nya. Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
“Aku berlindung dengan redha-Mu daripada murka-Mu, dengan pemeliharaanmu daripada seksa-Mu. Dan dengan-Mu daripada-Mu.” (HR. Muslim dan Abu Daud)
“Tidak ada tempat selamat dan berlindung dari Zat-Mu kecuali kepada Zat-Mu.” (HR. Muslim)
Apabila kita mengumpulkan antara bertauhid dan mengambil sebab, maka hati kita akan lurus dalam menuju Allah subhanahu wa ta’ala. Dengan demikian, jelaslah jalan besar yang dilalui oleh seluruh rasul, nabi dan pengikut mereka. Itulah jalan yang lurus iaitu jalan orang-orang yang Allah beri nikmat atas mereka. Semoga Allah selalu membimbing kita. (Lihat Madarijus Salikin, cet Dar Ihyaut Turots Al-Arabi, 3/368-369)
Wallahu a’lam bishshawab.
(Sumber: Buletin Jum’at Al Muslim, diterbitkan oleh Panitia Kajian Islam Yogyakarta; http://ahlussunnah-bangka.com/2009/05/01/berubat-tidak-mengikis-kesempurnaan-tauhid/)
http://akhwat.web.id/muslimah-salafiyah/aqidah-manhaj/berubat-tidak-mengikis-kesempurnaan-tauhid/
di edit bahasa oleh Abu Usamah Mohd Masri Bin Mohd Ramli
Categories
Artikel
Comments rss
Trackback
Sunday, August 22, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment